Thursday, April 14, 2011

Makin ramai golongan BAPA mengalami masalah Mental kritikal!

Bapa bakar diri, anak hampir mati

fire

YAN - Tindakan seorang bapa tidak siuman membakar diri menggunakan minyak petrol bukan sahaja membawa padah pada dirinya, malah hampir membunuh dua anak lelaki yang menyelamatkannya dalam satu cubaan membunuh diri di Kampung Ruat di sini kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daer:ah Yan, Asisten Superintendan Syed Mohd Nasir Syed Darus berkata, sebelum kejadian berlaku, Zinol Ismail, 51, dikatakan mengambil minyak petrol dari motosikal miliknya, mencurahkannya ke badan dan membakar diri di dalam bilik sejurus selepas isterinya menghantar anak kelima ke sekolah.

Menurutnya, tindakan itu disedari dua anak lelakinya yang sedang baring di ruang tamu apabila terhidu bau kebakaran dari arah bilik didiami bapa mereka.

“Kedua-duanya bergegas ke pintu bilik dan cuba membukanya tetapi gagal setelah mendapatinya berkunci.

“Badrul Amin, 14, dan Amirul Hadi, 12, lantas menendang pintu sehingga terbuka dan mendapati bapa mereka terbakar lalu menariknya keluar dari rumah,” katanya sewaktu ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, di sini semalam.

Syed Mohd Nasir berkata, kedua-dua anaknya lantas menjerit meminta tolong daripada keluarga dan jiran berdekatan selain berusaha memadamkan kebakaran pada badan bapa mereka menggunakan kain.

Menurutnya, akibat kejadian itu, kedua-dua remaja itu mendapat kecederaan serius di paha dan tangan dan laporan perubatan mendapati 95 peratus daripada badan mereka mengalami kesan kebakaran.

“Selain itu, laporan perubatan mendapati 100 peratus badan suspek melecur dan kini berada dalam keadaan kritikal.

“Kedua-dua anak lelaki suspek kini berada di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut manakala suspek turut dipindahkan dari Hospital Yan ke HSB kira-kira jam 4 petang tadi (semalam),” katanya.

Syed Mohd Nasir tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan pemercik api untuk membakar diri dan tidak dapat mengesahkan jumlah kandungan minyak petrol digunakan kerana masih dalam siasatan.

“Hasil siasatan polis mendapati suspek menerima rawatan sakit jiwa di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani sebanyak dua kali dan keengganan suspek meneruskan rawatan dan memakan ubat dibekalkan dipercayai antara punca tidak dapat mengawal diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan di bawah kesalahan cubaan bunuh diri, boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
..................................................................

Teringat kes di Kelantan dimana seorang bapa menyembelih anaknya yang manja hingga meninggal dunia!

No comments: