Monday, March 21, 2011

Racun : Sebelum GAP dedah dokumen , hayati kisah dibawah ini!





Siasat penyelewengan di Yayasan Selangor

APABILA membaca berita Yayasan Selangor mengalami defisit RM7.41 juta dalam tempoh tidak sampai setahun jagung pemerintahan Kerajaan PKR Selangor, saya langsung tidak terkejut. Mengapa saya kata begitu, ini kerana semasa bertugas di Yayasan Selangor, perbelanjaan yang diluluskan memang tidak masuk akal. Mentang-mentanglah masa itu wang dalam simpanan ada lebih kurang RM70 juta tunai, maka mereka joli sakan!

Saya pun tidak memahami tindakan Menteri Besar Selangor. Sepatutnya dua orang dipecat iaitu Pengurus Besar, Ilham Marzuki dan timbalannya, Mohd. Saifulruddin Sulaiman kerana inilah cadangan daripada Bahagian Audit Dalaman SUK. Kenapa seorang saja yang kena? Sedangkan semua pembayaran dan perbelanjaan dibuat setelah mendapat kelulusan Pengurus Besar yang tidak berapa cerdik ini. Kenapa pula SPRM tidak melihat semua ini? Ilham Marzuki mesti disiasat sama kerana penyelewengan yang dilakukan dan bersubahat.

Kenapa terdapat 18 kakitangan berhenti dan 50 kakitangan ditukarkan? Kerana mereka inilah yang cuba memberi nasihat kepada beliau tetapi dituduh dengan bermacam tuduhan melampau serta dimaki hamun. Siapa yang berani untuk memberi nasihat jika kami diherdik dan dimaki dengan kata-kata yang mana ibu bapa kita pun tidak pernah mengeluarkannya. Oleh itu kepada Ilham, jangan ceritalah pasal tiada kakitangan yang berpengalaman tampil untuk memberi pandangan atau nasihat kepadanya. Sekarang ini pun ada kakitangan baru yang dilantik sebagai pengurus adalah dari bekas seorang jurujual! Boleh ke buat kerja?

Kalau beliau mengaku orang baru dan perlukan pandangan daripada orang lama, buatlah baik-baik, bukan maki hamun. Jangan cerita pasal ketirisan zaman BN, tunjukkan bahawa kerajaan pembangkang tidak ada ketirisan. Tetapi apa yang kita dapati, mereka lagi teruk membelasah wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Ilham juga amat dangkal kerana meluluskan elaun-elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada lembaga pengarah, tetapi sebaliknya beliau tidak membayar faedah persaraan atau berhenti kepada kakitangan yang berhenti dan bersara walaupun perkara tersebut dengan terang dan jelas termaktub di dalam skim perkhidmatan Yayasan Selangor. Dengan kedangkalan Ilham ini, maka semua bekas kakitangan ini telah memfailkan saman ke atas Yayasan Selangor di mahkamah.

Sebagai bekas warga Yayasan Selangor yang sayangkan Yayasan Selangor, saya berdoa dan memohon agar Ilham meletak jawatan sebagai Pengurus Besar dengan kadar segera. Malu sangat rasanya kepercayaan yang diberikan untuk menerajui sebuah organisasi yang bukanlah besar sangat telah dikhianati. Sesungguhnya Ilham, anda telah gagal. Lebih baik keluar dan insaf serta bertaubat atas segala dosa yang pernah dilakukan sama ada semasa di Yayasan Selangor ataupun semasa 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, sesiapa yang bakal mengambil alih tempat Pengurus Besar ini (jika dia dipecat atau meletak jawatan) pasti menempuh waktu amat sukar untuk memulihkan sistem kerja di Yayasan Selangor. Apa tidaknya, semua pelantikan dilakukan mengikut suka hati sahaja tanpa melihat kelulusan mahupun kelayakan. Kenaikan pangkat pakai tunjuk sahaja. Gaji ikut suka sahaja. Jadi pandai-pandailah sesiapa yang akan menggantikannya.

BUJANG SENANG

Shah Alam

sumber : Utusan Malaysia


No comments: