Friday, December 31, 2010

Viva 2010 : Jenayah Masih Menakutkan Malaysia


Kes Sosilawati menggemparkan bagi tahun 2010

KES pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya merupakan kes jenayah berprofil tinggi paling menarik perhatian rakyat Malaysia pada 2010.

Kisah pembunuhan pengasas Nouvelle Visage ini bermula dengan laporan kehilangannya bersama tiga lagi mangsa iaitu pembantu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; Pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, pada 30 September lalu.

Kes kehilangan Sosilawati terus menjadi misteri dan menimbulkan banyak spekulasi selepas itu sehinggalah Mingguan Malaysia melaporkan berita eksklusif bertajuk 'Sosilawati dibunuh. Mayatnya bersama tiga yang lain dibakar' disiarkan sebagai berita utama pada 12 September 2010.


5 Jan. - Empat sekeluarga termasuk bekas imam ditemui mati dibunuh dalam dua rumah berasingan di Gemencheh.

8 Jan. - Tiga gereja di Desa Melawati, Damansara dan Petaling Jaya dilempar bom petrol.

14 Jan. - 'Hartawan Lebanon', Elie Yousef Najem ditahan polis kerana memiliki wang palsu AS$66.02 juta (RM220.6 juta).

9 Feb. - Saksi utama perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh diterimanya.

18 Feb. - Polis menahan 21 lelaki Afghanistan serta seorang tekong bot tempatan berusia 43 tahun dipercayai cuba memboloskan diri ke Indonesia sebelum diseludup masuk ke Australia.

26 Feb. - Seorang kanak-kanak, Syafia Humairah Sahari mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

4 Mac - Negara dikejutkan dengan satu lagi kes penderaan meragut nyawa seorang kanak-kanak K. Hareswaral yang baru berusia 18 bulan.

2 Mac - Enam buruh warga Filipina maut dipercayai terhidu gas beracun ketika melakukan kerja-kerja pembersihan tangki loji penapis.

8 April - Seorang lelaki di Kuantan tergamak menyimbah asid kepada isterinya hanya kerana wanita itu enggan mengadakan hubungan seks.

10 April - Seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia ditahan kerana menyamar sebagai kerabat diraja Pahang supaya dapat mengadakan lawatan ke semua kem PLKN.

21 April - Berang kerana tidak dibayar gaji, seorang pekerja ladang ternakan ayam tergamak membunuh majikannya sebelum membakar rumahnya di Mukim Hosba, Kubang Pasu.

26 April - Seorang remaja lelaki, Aminulrashid Amzah, 15, mati ditembak setelah dikatakan cuba merempuh anggota polis peronda ketika mahu memberkasnya di kawasan perumahan Jalan 11/2G, Seksyen 11, Shah Alam.

8 Mei - Penjenayah yang mencuri kenderaan rasmi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar di Shah Alam meninggalkan sekeping nota bertulis 'Sorry PDRM tesilap sapu' semasa 'memulangkan' kereta tersebut.

19 Mei - Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohd., 50, yang ditembak penyerang misteri ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada 1 Mei meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

9 Jun - Belum pun bermula Piala Dunia 2010, empat sindiket judi yang turut didalangi individu berpangkat Datuk dikenal pasti menganjurkan pertaruhan secara haram dan mampu mengaut keuntungan mencecah RM1 bilion.

9 Jun - Angkara gila talak, seorang lelaki bertindak membakar Masjid Jamiur Rahmah di Kampung Limau Manis, Sepang, iaitu lokasi bekas isterinya yang dijangka melangsungkan pernikahan.

17 Jun - Kesemua 88 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen di Depot Tahanan Imigresen KLIA ditukarkan ke bahagian lain berikutan kejadian 16 warga asing melarikan diri dari depot tersebut pada 27 Mac lalu.

24 Jun - Pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) mati setelah tidak sedarkan diri selepas dikenakan hukuman tekan tubi dan ditendang rakannya.

2 Julai - Seorang penjenayah yang menembak mati rakannya yang cedera semasa merompak kedai emas di Plaza OUG April lepas, akhirnya mati ditembak polis di Bukit Tunku.

5 Julai - Empat lelaki yang memecah masuk kediaman seorang anggota exco kerajaan negeri Pahang di Jalan Teluk Sisek di Kuantan, disyaki untuk melakukan samun di tembak mati.

6 Julai - Polis menumpaskan sindiket pelacuran melibatkan pelajar dengan penahanan tujuh individu termasuk seorang wanita disyaki ibu ayam dalam satu serbuan di dua buah hotel di Melaka.

12 Julai - Ops Soga yang dilancarkan PDRM selama sebulan sepanjang Piala Dunia 2010, berjaya menumpaskan kegiatan pertaruhan bola sepak bernilai RM419.2 juta.

3 Ogos - Bekas ADUN Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd. Nor, 64, dan bekas pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat, 43, ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala masing-masing dalam sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 455.7, Lebuh Raya Utara Selatan. Polis percaya ia tidak melibatkan pihak ketiga.

11 Ogos - Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia, ditahan di bawah ISA kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan.

18 Ogos - Ketua Pemuda MIC Hulu Langat terpaksa menahan kesakitan sambil berlari sejauh 200 meter ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas ditembak dua das ketika minum.

21 Ogos - Bimbang dengan gejala pembuangan bayi yang berterusan, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mencadangkan kerajaan mewujudkan tabung sampel DNA.

29 Ogos - Pekerja wanita sebuah kafe siber maut manakala rakannya parah sebaik membuka sebuah kotak misteri mengandungi mercun yang meletup di Tingkat 12 Pangsapuri Desa Tun Razak di ibu negara.

3 Sept. - Seorang ustazah dan anak lelakinya ditemui mati dibunuh di sebuah flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson.

7 Sept. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak pernah terima aduan wujudnya campur tangan kementeriannya dalam tugas Tan Sri Musa Hassan.

12 Sept. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bersara setelah 41 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

13 Sept. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, 57, yang memulakan tugas berjanji melaksanakan tugas dengan berpaksikan bidang kuasa yang diperuntukkan undang-undang.

29 Okt. - Tan Sri Ismail Omar umum penstrukturan PDRM membabitkan pelantikan beberapa ketua polis negeri, kenaikan gred serta pengesahan jawatan seramai 53 pegawai kanannya.

1 Dis. - Seorang bekas askar yang menyamar sebagai doktor dan pernah berkhidmat di tiga buah klinik di sekitar negeri ini, akhirnya diberkas polis.

7 Dis - Pembantu rumah warga Indonesia ditahan selepas dipercayai membunuh majikannya, seorang warga emas sebelum melarikan diri di Teluk Kemang.

10 Dis. - Seorang tukang kebun tergamak mendera anak lelakinya yang berusia empat tahun dengan menoreh kemaluan anak sulungnya itu di rumahnya di Senawang.

17 Dis. - Hanya kerana cintanya tidak berbalas, seorang lelaki hilang pertimbangan apabila bertindak kejam menikam gadis berusia 17 tahun bertubi-tubi dengan pisau sebanyak 19 kali sebelum menyimbah mangsa dengan asid.


sumber : Utusan Malaysia

1 comment:

Bingai @ Bangang said...

Selamat Tahun Baru!

Saya juga ingin menjemput anda menyertai Salasilah Keluarga

Aku Yang Bingai
Bolasepak - Kontrak Rajagopal bagi telur di hujung tanduk?