Tuesday, October 5, 2010

Info : Barah buah dada serang lelaki!!!



Ramai lelaki tidak tahu mereka boleh hidap barah buah dada

LELAKI pun boleh menghidap barah buah dada, tetapi ramai orang lelaki tidak mengetahuinya.

Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan hampir 80 peratus daripada kaum lelaki yang berisiko lebih tinggi untuk menghidap barah buah dada, tidak sedar bahawa orang lelaki pun boleh mendapat barah tersebut.

Mereka juga menyatakan tiada doktor yang pernah memberitahu mereka bahawa barah buah dada boleh juga dihidapi kaum lelaki.

Dalam kajian yang hasilnya diterbitkan di American Journal of Nursing keluaran bulan ini, para pengkaji tersebut telah meneliti 28 lelaki yang berisiko lebih tinggi menghidap barah buah dada.

Ini kerana mereka mempunyai sekurang-kurangnya seorang saudara di sebelah ibu mereka yang menghidap barah itu.

Seramai 79 peratus daripada lelaki itu tidak tahu bahawa mereka boleh mendapat barah buah dada.

Lagi 43 peratus pula berkata jika mereka menghidap barah buah dada, kelelakian mereka mungkin dipersoal.

Penulis kajian itu, Dr Eileen Thomas, penolong profesor di Kolej Kejururawatan di Universiti Colorado, Denver di Amerika Syarikat, berkata:

'Kajian ini adalah langkah pertama ke arah usaha memahami tentang persepsi dan pengetahuan kaum lelaki mengenai barah buah dada yang menjejas lelaki.'

Cik Maureen Shawn Kennedy, ketua editor jurnal itu, pula mengulas: 'Barah buah dada di kalangan lelaki memang jarang berlaku dan penyakit ini seakan diabaikan oleh media, penduduk dan kumpulan penjagaan kesihatan.

'Namun begitu, para jururawat di semua peringkat perlu meningkatkan kesedaran mengenai barah ini di kalangan lelaki mahupun wanita, terutama kaum lelaki yang berisiko tinggi menghidapinya.'

Menurut Institut Barah Nasional Amerika, barah buah dada di kalangan kaum lelaki merangkumi kurang daripada 1 peratus daripada semua kes barah buah dada dan biasanya menjejas lelaki berusia 60 hingga 70 tahun.

Faktor-faktor risikonya termasuk pendedahan kepada radiasi, sejarah keluarga yang menghidap barah buah dada dan kadar hormon estrogen yang tinggi di dalam badan yang terjadi di kalangan pesakit sirosis (penyakit hati kronik) dan Sindrom Klinefelter (keadaan apabila seseorang lelaki mempunyai tambahan kromosom X).

Tanda-tanda barah buah dada di kalangan lelaki pula termasuk ketulan di bahagian dada, perubahan pada puting atau kulit dada dan cairan yang keluar dari puting.

Rawatan yang diberikan biasanya ialah mastektomi iaitu pembedahan untuk membuang buah dada, selain radiasi, kemoterapi dan/atau terapi hormon. -- HealthDay News dan Institut Barah Nasional Amerika Syarikat.

.........................................................................................................................................

No comments: