Wednesday, September 8, 2010

Suara Anak Felda buat Anak Kesayangan Anwar!!


Hargailah jasa besar Felda

SAYA ingin mengulas tulisan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, dalam sebuah akhbar harian keluaran 30 Ogos 2010 bertajuk ‘Merdeka Bukan Untuk Semua’.

Beliau telah menyentuh tentang golongan yang tidak dapat menikmati faedah sebenar kemerdekaan. Salah satu golongan yang disentuh adalah rakyat yang tidak dapat memilih pentadbir tempatan seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Maaflah jika saya kurang cerdik dalam hal ini. Tetapi saya tidak pernah pula melalui pilihan raya bagi ‘Pemilihan Pentadbir Tempatan’ walau pun telah berpuluh tahun hidup di Kuala Lumpur.

Golongan kedua yang pada perkiraan anak Ketua Pembangkang ini yang telah dinafikan hak kemerdekaan mereka adalah peneroka Felda. Betapa peneroka hidup menderita sehingga ke akhir hayat mereka kerana beban hutang berterusan dan terpaksa pula ditanggung oleh generasi seterusnya.

Sebagai generasi kedua Felda, saya telah melihat bagaimana keluarga yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sebelum berpindah ke Felda. Kini ibu bapa telah mempunyai kediaman selesa, mampu memiliki kenderaan sendiri dan cukup simpanan untuk mengerjakan haji dan umrah. Membesarkan sembilan anak bukanlah mudah. Alhamdulillah, kami semua telah dapat menjejaki menara gading di dalam dan luar negera.

Saya ingat lagi akan tuisyen untuk pelajar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara percuma atau dengan bayaran minimum oleh pihak Felda, selain bantuan kewangan untuk ke universiti, kursus motivasi pelajar percuma dan banyak lagi.

Bagi peneroka yang berjimat dalam Koperasi Felda mereka mendapat pulangan melebihi 15 peratus setiap tahun. Itu tidak termasuk bonus dan duit raya yang diberikan setiap tahun. Duit raya itu bukan baru. Telah beberapa tahun peneroka menerima bonus dan duit raya.

Memang benar peneroka perlu membayar hutang tanah dan kos selenggaraan Felda. Apabila ia telah berbayar setelah berpuluh tahun dan peneroka telah mendapat geran tanah, kos lain pula timbul iaitu kos penanaman semula. Nurul Izzah telah membandingkan kos penanaman semula Felda sebanyak RM3,151/hektar manakala sektor swasta seperti IOI RM596/hektar dan Sime Darby RM936/hektar.

Saya ingin meminta penjelasan beliau mengenai:

* Ketika harga sawit jatuh di pasaran dunia, adakah peneroka menerima tempias maksimum? Tentulah tidak kerana Felda akan memberi subsidi.

* Adakah peneroka mampu atau mempunyai kemahiran dalam pengurusan tanam semula jika mereka memilih untuk berbuat demikian? Perlu diingat bahawa pihak Felda memberikan peneroka alternatif sama ada untuk pihak Felda menguruskan penanaman semula atau pihak lain yang dipilih oleh peneroka.

* Adakah gred sawit itu satu faktor yang tetap tanpa mengira kualiti buah sawit yang dituai? Gred sawit bergantung kepada kualiti pokok. Ada banyak kes di mana peneroka telah menjual baja yang diberi oleh Felda kerana ia berkualiti tinggi dan diganti dengan baja berkualiti rendah hanya untuk membuat ‘pendapatan sampingan’ yang akhirnya merugikan diri sendiri. Begitu juga ada yang tidak membaja atau menjaga kesuburan tanaman mereka.

* Adakah kos Felda ini telah mengambil kira akan elaun bulanan kepada peneroka ketika mata pencarian mereka belum mengeluarkan hasil? Atau mungkin kos-kos berkaitan lain yang perlu dihuraikan oleh pihak Felda secara terperinci.

* Mampukah seorang peneroka mengeluarkan wang puluhan ribu ringgit bagi proses tanaman semula dan pada yang sama tidak mempunyai sumber pendapatan langsung? Fikirlah sendiri!

Memang benar seorang yang berhutang itu bolehlah dikira seorang yang masih terjajah dari segi kewangan. Di zaman ini, hampir kesemua orang mempunyai hutang - hutang rumah, kereta, pendidikan, along dan sebagainya. Kita telah dijajah oleh institusi-institusi kewangan.

Bagaimana pula dengan mereka yang gemar membuat tuduhan melulu kerana ketaksuban membabi buta kepada pemimpin tertentu hingga tidak dapat membuat penilaian menggunakan logik akal? Mereka inilah yang paling menyedihkan kerana hati dan minda mereka masih terjajah dan tertutup. Nurul Izzah perlu keluar dari cengkerangnya sendiri.

ANAK FELDA ULU DENGAR,

Kluang, Johor

...................................................................................

Inilah hakikat politik. Setiap isu yg digembar gembur belum tentu ada kebenarannya. Orang politik seperti Izzah sekadar menangguk di air keruh dan menjaja isu yg sekadar memanaskan politik malaysia. Strategi melemahkan kuasa politik melayu @ umno terus berjalan biarpon terpaksa menipu dan menggunakan isu remeh temeh tetapi dibesar2kan.


No comments: